PUTRAJAYA: Jawatankuasa khas pembaikan sistem hari ini mengumumkan rombakan besar-besaran undang-undang dan amalan pilihan raya akan dibuat bagi mewujudkan sistem pemilihan yang lebih baik.

Pengerusi Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, yang juga bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya berkata, mereka menyenaraikan 15 cadangan penambahbaikan undang-undang dan amalan dalam mesyuarat pertama jawatankuasa itu hari ini.

Beliau berkata cadangan pertama adalah mengkaji sistem pilihan raya yang sesuai berbanding sistem “first-past-the-post” sedia ada, yang diamalkan di peringkat persekutuan sejak 1955 dan negeri pada 1954.

Antara sistem yang menarik perhatian jawatankuasa ialah sistem perwakilan berkadar atau proportional system, yang diamalkan di 87 negara.

“Sistem ini lebih adil dan mudah. Kalau menang 60%, anda dapat 60% kerusi. Kita nak syorkan sistem ini berdasarkan kerusi berdasarkan undi popular,” kata Rashid pada sidang media selepas mesyuarat.

Cadangan lain seperti menyediakan kerangka undang-undang untuk penubuhan badan pengurusan pilihan raya yang “teguh” dan “sempurna”, untuk pelaksanaan tugas-tugas persempadanan bahagian pilihan raya, untuk pendaftaran dan kawalan pihak yang mengambil bahagian dalam pilihan raya, dan untuk mekanisme kempen dan kod etika pilihan raya.

Jawatankuasa juga bercadang mengkaji kaedah pemilih, termasuk soal kelayakan dan menurunkan had mengundi minimum kepada 18 tahun daripada 21 tahun, penyediaan dasar pemilih yang kemas dan sempurna, dan kerangka undang-undang menyentuh kebebasan bersuara dan akses media.

“Jawatankuasa ini juga akan melihat dari segi kewangan dan perbelanjaan kempen, sumbangan kerajaan, swasta dan masyarakat,” katanya.

“Kita juga akan meletakkan panduan tata kelakuan parti-parti politik dan calon-calon dalam musim pilihanraya.”

Jawatankuasa dianggotai 11 orang termasuk Ketua Penerangan PPBM Datuk Kamarudin Md Nor, Ahli Majlis Tertinggi PPBM Datuk Nordin Salleh, Timbalan Ketua Biro Strategi dan Dasar Wan Saiful Wan Jan dan penyelidik pendemokrasian dan pilihan raya Prof Madya Faizal Hazis dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Jawatankausa ini diberi tempoh 2 tahun untuk menyiapkan cadangan kepada kerajaan.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/08/29/rashid-umum-rombakan-besar-besaran-sistem-pilihan-raya/